Tuesday 10 June 2014

Lawatan Penanda Aras EKSA dari PPD Kuala Terengganu

Rombongan pegawai dan kakitangan dari PPD Kuala Terengganu telah membuat lawatan penanda aras EKSA ke PPD Temerloh. Seramai 50 orang telah berkunjung bagi melihat sendiri suasana dan pencapaian PPD Temerloh serta berkongsi idea dan pandangan bagi meningkatkan prestasi kedua-dua belah pihak.

Rombongan yang menaiki 2 buah bas ini telah tiba pada jam 2.00 petang dan disambut mesra oleh semua para pegawai dan kakitangan PPD Temerloh dalam suasana penuh harmoni. Para tetamu dihidangkan dengan jamuan tengahari.

Selesai solat zuhur, para tetamu dibawa ke Gerbang Cendekia untuk sesi taklimat dan penerangan tentang latar belakang dan pencapaian PPD Temerloh serta EKSA. Pembentangan telah disempurnakan oleh En. Mahadzir selaku Ketua Unit Pengurusan Sekolah dan En. Yusof selaku wakil Pegawai Unit Jaminan Kualiti. Sesi taklimat telah diakhiri dengan sesi dialog.

Seterusnya rombongan dibawa melawat ke semua zon EKSA PPD Temerloh. Sebelum berangkat pulang, para tetamu sekali lagi dijamu minum petang. Rombongan bergerak pulang pada jam 5.00 petang.

Friday 30 May 2014

Sambutan Hari Guru peringkat PPD Temerloh

Sambutan Hari Guru peringkat PPD Temerloh anjuran Kelab Kebajikan, Sukan dan Sosial (KKSS) PPD Temerloh telah disambut dengan serba sederhana tetapi meriah. Sambutan ini bertujuan bagi meraikan para pegawai dan penyelia yang terdiri daripada kalangan guru. Majlis dimulakan dengan doa selamat pada jam 8.00 pagi diikuti dengan jamuan sarapan pagi.

Seterusnya para pegawai diarak ke Gerbang Cendekia diiringi oleh paluan kompang. Acara sambutan diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Guru Malaysia dan lagu Biarku Menjadi Lilin. Setelah itu semua pegawai dan kakitangan membaca ikrar hari guru yang diketuai oleh Dr. Nasaruddin. Akhirnya Tuan Pegawai Pendidikan Daerah telah membacakan perutusan KPPM. Di samping itu Tuan PPD juga telah merasmikan tabung kebajikan KKSS dan kempen "Moh Baca" peringkat PPD Temerloh.

Sesudah acara rasmi, majlis diteruskan dengan acara sukaneka. Para pegawai telah dibahagikan kepada 6 kumpulan yang terdiri daripada 6 orang ahli dan diketuai oleh ketua unit. Antara acara yang dipertandingkan adalah boling kelapa, memasukkan air ke dalam botol, bawa bola ping pong dalam susu, pancing botol dan tiup belon sampai pecah.

Selesai acara sukaneka, acara bertukar-tukar hadiah mengambil tempat. Sebelum itu, pemenang bagi acara sukaneka diumumkan dan hadiah disampaikan oleh Tuan PPD. Sementara itu acara cabutan bertuah juga telah diadakan. Majlis disudahi dengan jamuan makan tengahari.